Sunday, September 25, 2011

SOALAN YANG ASYIK DITANYA: MENGAPAKAH KAMU HENDAK MENJADI SEORANG GURU??

Semalam berbual dengan seorang saudara yang hadir bersama di majlis hari jadi adik sepupu, perbualan yang berkisahkan soalan yang saya ingin tanya akhirnya bertukar menjadi perbualan kami sepanjang malam. Sesungguhnya beliau amat saya hormati dan segani, kerana beliau merupakan seorang pensyarah di USM dan giat dalam pelbagai aktiviti amal. Apabila beliau bertanya saya soalan yang selalu ditanya “Mengapakah kamu hendak menjadi seorang guru?” saya tergamam dan terdiam sebentar dan apabila cetusan untuk menulis di laman ini tentang sebab saya menjadi guru saya menjadi teragak-agak. Saya tidak pernah berkongsi dalam bentuk tulisan dengan sesiapapun sebab saya menjadi seorang guru kerana saya merasakan kemungkinan besar saya akan disalah erti dan mungkin akan merosak niat saya. Namun, setelah Berjaya menyakinkan saya, semoga tulisan-tulisan ini penuh manfaat sebagai sesuatu perkongsian dan pengalaman. Sejak kecil, saya tidak pernah pun terfikir untuk menjadi seorang guru, apalagi menjadikannya sebagai cita-cita. Dalam fikiran saya pada zaman kecil saya, guru sangat garang dan asyik suruh murid buat kerja yang membosankan sahaja. Semasa di sekolah rendah, saya tidak pandai berbahasa melayu. Saya hanya boleh membaca dan menulis karangan yang pendek apalagi bertutur dalam bahasa ini. Tetapi, apabila keputusan UPSR diumumkan, saya menjadi teramat gembira kerana mendapat A untuk subjek Bahasa Melayu saya. Saya tidak penah mendapat A dalam mata pelajaran ini, sekali dapat gembira sangat. Terlampau gembira menjadi satu dorongan kepada saya untuk bertutur dalam bahasa melayu. Saya cuba untuk bertutur dalam bahasa melayu dengan seorang kawan berbangsa Melayu tetapi belajar di Sekolah Menengah yang berasaskan bahasa cina ketika itu. Tetapi setelah beberapa minit “ Miza, itu…ah..” yang keluar dari mulut, akhirnya dia berkata, “Eh, Yee San, saya boleh faham bahasa cina!” Saya terus terdiam. Hati saya telah luluh, tapi kebenaran yang disebut itu memanng pedih, namun saya terima. Suatu hari, telefon bimbit nokia 3210 milik abang saya berbunyi. Setelah saya serahkan kepadanya, saya terpacak tegak berdiri tegak apabila saya terdengar dia berbual dalam bahasa melayu. Ketika itu saya berkata dalam diri saya, “dia abang saya, saya adiknya, dia darah daging saya, saya darah dagingnya, kenapa dia boleh saya tak boleh?” Sejak hari itu, saya bertekad untuk menguasai bahasa ini, bagaimanapun caranya. Meski ada bantuan daripada guru semasa di sekolah menengah. Namun, saya tidak hanya bergantung kepada guru saya. Saya mengambil buku rujukan dari perpustakaan dan belajar sendiri dari kosong. Namun, saya tidak berpuas hati, saya sertai pertandingan syarahan dan pelbagai aktiviti berkaitan dengan bahasa ini dengan galakkan guru dan ibu bapa. Dalam proses saya cuba untuk membangunkan potensi diri saya, saya sedari bahawa ramai anak bangsa cina saya yang ketinggalan dalam bahasa ini tetapi mahir dan mantap dalam semua pelajaran. Ketika itu, saya telahpun buat keputusan untuk menjadi seorang guru. Sejak hari itu, matlamat saya jelas dan perjalanan saya hanya menuju ke arah itu. Bagi saya, peranan sebagai seorang guru amat penting dan amanah. Tugas guru bukan sekadar masuk kelas dan mengajar ilmu kering sedangkan hati murid-murid yang kecil ini ibarat sehelai kain putih. Saya percaya bahawa sekecil bakti guru boleh menjadi besar bagi mereka. Sekecil teguran guru boleh menjadi satu panduan agung kepada mereka. Namun, apabila mereka melihat guru yang berlonggaran daripada apa yang terbit dari mulut dan perbuatan, perkara itu akan dianggap remeh dan bermain-main. Semoga tulisan ini menjadi satu perkongsian, pengalaman dan juga jawapan kepada mereka yang bertanya soalan yang sama. Apa yang saya kongsikan hanya apa yang saya rasakan dan apa yang tersasar itu adalah kerana kelemahan dan kelalaian saya.